Luaskan Peranan Mahkamah Syariah Untuk Pengharmonian Dua Bidang Kuasa


Isu perundangan Syariah sering kali berhadapan dengan pelbagai cabaran yang berat lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pertindihan bidang kuasa dengan Mahkamah Sivil. Terbaru dalam kes Izwan Abdullah yang melibatkan perebutan hak penjagaan anak di Seremban telah membuka satu lagi siri pertembungan antara kedua-dua institusi Mahkamah dalam negara.

Prinsip Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan secara dasarnya memberi kuasa penuh kepada Mahkamah Syariah untuk mengadili semua kes yang melibatkan hal ehwal yang bersangkutan dengan agama Islam dan ianya satu yang baik sebagai salah satu usaha untuk memartabatkan perundangan Syariah dalam negara.

Namun konflik di sebalik peruntukan ini timbul bila mana isu pembubaran perkahwinan sepasang suami isteri disebabkan salah seorang dari mereka bertindak menukar agama. Bermula dari pembubaran perkahwinan, konflik terus merebak hingga kepada hak penjagaan anak termasuk status agama anak-anak mereka di bawah umur 18 tahun.

Beberapa siri kes yang berlaku sebelum ini seperti Mohd. Ridzuan Abdullah (K. Pathmanaban v Indira Ghandhi), Muhammad Abdullah @ Moorthy, Mohd Shafie (Saravanan) yang melibatkan isu yang sama gagal untuk memuaskan hati kedua-dua pihak dan sudah tentu tamparan lebih hebat diberikan kepada status bidang kuasa Mahkamah Syariah di Malaysia.


‘Shariah courts don’t compete with civil courts’

Penulis melihat perbezaan yang ada pada amalan perundangan Mahkmah Sivil dan Mahkamah Syariah sepatutnya tidak ditajamkan. Sebaliknya satu lembaran baru untuk memastikan agar benar-benar kedua-dua sistem ini dapat diharmonikan dapat direalisasikan.

Mahkamah Syariah di India

Penulis pernah menghadiri jemputan dari Islamic Council of Victoria (ICV) dalam beberapa pertemuan ke arah merangka satu sistem Mahkamah Syariah khusus untuk mengendali kes yang melibatkan isu kekeluargaan warga Muslim di Australia.
Dalam pertemuan tersebut, penulis telah melontarkan konflik bidang kuasa yang akan berlaku sekiranya salah seorang dari pasangan bertindak menukar agama. Maka, dalam konteks di Australia, penulis mencadangkan satu sistem bidang kuasa yang jelas iaitu kedua-dua pasangan harus bersetuju untuk membawa kes yang dipertikaikan di Mahkamah Syariah.

Dalam kes di mana jika hanya salah seorang pasangan yang ingin merujuk kes tersebut di Mahkamah Syariah, maka kes pertikaian tersebut wajib diadili oleh Mahkamah Sivil. Sistem sebegini juga telah dipraktikkan di beberapa negara Minoriti Muslim lain seperti di Mumbai, India.
Walau bagaimanapun, dalam konteks Malaysia sistem bidang kuasa tersebut tidak dapat direalisasikan memandangkan peruntukan undang-undang termasuk undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan meletakkan keistimewaan tertentu pada kedudukan Mahkamah Syariah yang tidak boleh dicabar oleh Mahkamah Sivil.

Namun, beberapa peruntukan undang-undang yang wujud telah meletakkan status Mahkamah Syariah berada pada kedudukan yang janggal. Sebagai contoh, dalam hal pembubaran perkahwinan Mahkamah Syariah pula yang menutup pintu mereka kepada orang bukan Islam kerana enakmen negeri membabitkan undang-undang Islam telah meletakkan peruntukan bahawa Mahkamah Syariah berkuasa mendengar dan memutuskan perkara di mana kedua-dua pihak mestilah beragama Islam.

Justeru, bagi mendapatkan keadilan, pasangan bukan Islam sudah tentu akan membawa kes mereka ke Mahkamah Sivil kerana ia satu-satunya medium yang membolehkan mereka untuk memperoleh keadilan dan hak. Maka, sudah tentu persoalan keistimewaan bidang kuasa Mahkamah Syariah akan timbul apabila perintah yang keluar dari Mahkamah Sivil bercanggah dengan ketetapan Mahkamah Syariah.

Seksyen 51 Law Reform Act (LRA) 1976 menyatakan bahawa
(1) “Where one party to a marriage has converted to Islam, the other party who has not so converted may petition for divorce: Provided that no petition under this section shall be presented before the expiration of the period of three months from the date of the conversion.”

(2) “The Court upon dissolving the marriage may make provision for the wife or husband, and for the support, care and custody of the children of the marriage, if any, and may attach any conditions to the decree of the dissolution as it thinks fit”

Manakala Seksyen 2 Law Reform Act (LRA) 1976 menyatakan bahawa “Court” bermaksud the High Court or a Judge thereof or, where a Sessions Court Judge has jurisdiction by virtue of subsection (2), the Sessions Court or a Sessions Court Judge of that Court
Mahkamah Syariah sebagai medium keadilan

Penulis percaya bahawa konflik akan dapat diselesaikan sekiranya Mahkamah Syariah membenarkan salah seorang pasangan bukan Islam untuk membawa kes mereka ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan keadilan.

Kebenaran ini perlu kerana ia melibatkan hak seseorang yang merasakan diri mereka terinaya. Dari sudut itu, penulis melihat betapa peranan Mahkamah Syariah dapat dikembangkan hingga menjadi sandaran kepada bukan Islam untuk mendapatkan hak dan keadilan.

Di Brunei contohnya, peruntukan undang-undang Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam) 1999 tidak menghalang Mahkamah Syariah untuk mendengar dan mengadili kes yang melibatkan bukan Islam di mana peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam tersebut terpakai dalam sebarang hal di mana sekurang-kurangnya satu pihak menganut agama Islam. Malah, pihak bukan Islam sendiri menyedari bahawa undang-undang Islam melalui Mahkamah Syariah berperanan menawarkan keadilan yang lebih baik kepada pihak yang bertikai berbanding undang-undang sivil.

Sementara itu, penulis juga melihat keperluan untuk hakim Mahkamah Syariah yang mengadili kes seumpama ini untuk dilatih dan didedahkan dengan sistem undang-undang sivil, yang meliputi prosedur dan “substantive” termasuk kes-kes yang menjadi “precedent” serta peruntukan undang-undang sedia ada seperti Law Reform Act (LRA) 1976.

Pihak bukan Islam juga terhad dalam kes sebegini yang bersangkutan dengan hak mereka mungkin harus diberikan kebenaran untuk mengambil peguam dari kalangan bukan Islam untuk mewakili mereka sekiranya perlu sebagai langkah bagi memastikan Mahkamah Syariah tidak dilihat sebagai badan yang menafikan hak orang bukan Islam untuk mendapatkan hak dan keadilan.

Penulis berpendapat, sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, ia merupakan bibit-bibit kepada keharmonian dan percantuman kedua-dua bidang kuasa Mahkamah. Bapa Perundangan Negara, Allahyarham Tan Sri Professor Ahmad Ibrahim, Tun Abdul Hamid Mohammad (bekas Ketua Hakim Negara) dan Tan Sri Harun Hashim (bekas Hakim Mahkmah Agung) adalah tokoh penting yang dulu pernah mencadangkan percantuman beberapa bahagian khusus antara Mahkamah Syariah dan Sivil.

Muhammad Faisal Abdul Aziz, Setiausaha Agung
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Peguambela & Peguamcara.
http://www.faisalazizfa.com/index.php/2015/09/07/luaskan-peranan-mahkamah-syariah-untuk-pengharmonian-dua-bidang-kuasa/
Luaskan Peranan Mahkamah Syariah Untuk Pengharmonian Dua Bidang Kuasa Luaskan Peranan Mahkamah Syariah Untuk Pengharmonian Dua Bidang Kuasa Reviewed by Mohd Syahiran Muhammad on 3:13 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.