Almarhum Dato' Fadzil Noor Tarbiah ABIM Kepada PAS

UNTUK penggerak dan peneraju gerakan Islam di Malaysia, siri kuliah 'Aqidah dan Perjuangan' oleh Ustaz Fadzil Noor yang kemudian dibukukan oleh Dewan Pemuda Pas Pusat adalah satu monumen; seakan-akan manifesto perjuangan yang mesti dibaca.

Lapan tahun Presiden PAS, dan Ketua Pembangkang yang berkaliber Dato' Fadzil Mohd Noor sudah pergi meninggalkan kita.Justify Full

Lapan tahun itu sebenarnya masih terlalu muda kerana hanya minggu lalu kita mengecapi 'kejayaan' yang sebetulnya dirintis oleh almarhum. Tanpa menafikan Anwar Ibrahim sebagai pemangkin kejayaan Barisan Rakyat baru-baru ini, ustaz Fadzil Noor adalah insan yang pertama memungkinkannya.

Buat mereka yang masih muda dan tidak pernah mendengar nama beliau, ustaz Fadzil atau Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Moyang arwah adalah Tuan Guru Hj Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi yang merupakan seorang ulama� terkenal di Kedah asal Patani.

Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978). Semasa memimpin ABIM, 'aspirasi rakyat yang baru kita kenal manisnya 8 Mac lalu' telah pun diharung dengan penuh kepahitan oleh Ustaz Fadzil Noor.

Sebelum Tian Chua, Mohamad Sabu, dan pimpinan Hindraf pandai berdemonstrasi ustaz Fadzil telah turut terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah pada tahun 1974. Ketika Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA di Kamunting dari tahun 1974 hingga 1976, Ustaz Fadzil Noor menjadi Pemangku Presiden ABIM.

Al-marhum telah menjadikan perjuangan membela rakyat sesuatu yang sebati. Dan itu bukan hanya kata-kata kerana Ustaz Fadzil Noor pernah ditahan dua kali oleh pihak polis. Kalau tidak silap saya hujung tahun 1970an, ketika beliau sedang berucap dalam suatu majlis ceramah di Kg Seberang Takir, Terengganu, tiba-tiba pihak polis mengumumkan bahawa ceramah tersebut adalah perhimpunan haram.

Turut hadir dalam ceramah itu adalah Ustaz Abdul Hadi Awang, Mustafa Ali dan Ustaz Fadhullah Shuaib. Tanpa menghiraukan amaran tersebut, Ustaz Fadzil Noor meneruskan ceramahnya. Beliau tidak lain tidak bukan adalah aspirasi dan inspirasi pimpinan Barisan Rakyat hari ini yang beria-ia memperjuangkan perhimpunan aman di bawah satu sistem demokrasi yang adil.

Oleh kerana kedegilan Ustaz itu polis telah menahannya berserta penceramah lain. Mereka bermalam di lokap. Dan penangkapan itu telah meledakkan kemarahan di Kuala Trengganu jauh lebih lama sebelum berlaku peristiwa Batu Buruk tahun lalu.

15,000 orang ahli dan penyokong PAS telah berkumpul di luar kawasan balai polis Kuala Terengganu bagi mendesak pemimpin mereka dibebaskan segera. Hasil perundingan dengan pihak polis Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin yang ditahan dalam lokap tersebut dibebaskan tanpa sebarang tindakan.

Beliau juga ditahan oleh pihak polis dalam satu ceramah di Jerlun, Kedah. Seingat saya ia berlaku ketika peristiwa pertelingkahan antara pimpinan PAS dan UMNO mengenai Muassasah Darul Ulum. Ustaz Fadzil Noor telah ditahan semasa berceramah bersama-sama YDP PAS Kawasan Jerlun pada waktu itu, dan dikenakan ikat jamin. Kes tersebut dibawa ke mahkamah tetapi digugurkan setengah jalan berikutan kematian Hj. Shaari.

Mengapa saya katakan Ustaz Fadil sebagai perintis kemenangan rakyat 8 Mac lalu?

1. Barisan Rakyat Mendapat Semangat Beliau

Tatkala Tuan Guru Yusof Rawa uzur dan terpaksa melepaskan jawatan Yang Dipertua PAS, Ustaz Fadzil Noor telah memikul beban paling besar, mara ke hadapan untuk mengambil alih kepimpinan di tengh-tengah tragedi Memali. Dalam sejarah kebangkitan rakyat bagi konteks Malaysia (yang dikecapi manisnya generasi baru 8 Mac lalu), peristiwa Memali adalah suatu peristiwa hitam yang merupakan penindasan kuasa angkuh.

Sebagai antara pembantu Prof Zulkifli Muhammad sebelum itu ustaz sudah pun secara terbuka menerima idea PAS bersekutu dengan kaum-kaum bukan Melayu. Kita semua tahu Prof Zulkifli adalah pemimpin PAS pertama yang mencadangkan agar PAS menerima kaum Cina dan orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu PAS.

Dengan idea dan wawasan ustaz Fadzil lah maka beliau menggerakkan pakatan CCC, di mana PAS mulai berjinak-jinak dengan kaum bukan Islam. Barisan Rakyat yang disifatkan oleh Haji Husam sebagai buta warna (kerana rakyat tidak mengira apa ia merah, hitam atau hijau) 8 Mac lalu beroleh manfaatnya dari kerja-kerja awal ustaz inilah.

2. Kebijaksanaan Politik Melampaui Zaman

Idea tahaluf siyasi adalah suatu kebijaksanaan politik yang dikemukakan oleh ustaz Fadzil Noor di mana beliau menunjukkan contoh dengan mewujudkan pakatan bersama Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

Kalau tidak kerana tahaluf siyasi ini, hampir sukar untuk PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990 dan menguasainya sehingga 8 Mac lalu.

Kebijaksanaan politik beliau jugalah yang membolehkan gejala reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim dicetuskan. Jika pemimpin PAS tidak campur tangan serta terlibat 'membantu' Anwar Ibrahim, sukar untuk Anwar mendapat momentum reformasi yang terus ditunggangnya sehingga 2008.

Ini menunjukkan Ustaz Fadzil memilih essence Islam iaitu membantu dan menghulur tangan kepada 'golongan yang tertindas'. Tanpa mengendahkan suara-suara bantahan dalam PAS yang resah, bimbang, dan gerun dengan hubungan akrab Anwar dengan 'Amerika Syarikat', ustaz Fadzil melakukan tindakan nekad, iaitu melihat masa depan dari konteks tempatan.

Ustaz Fadzil adalah orang yang menubuhkan GERAK, dan dengan GERAK itulah beliau merintis penubuhan Barisan Alternatif yang merupakan satu tahaluf siyasi ke arah pembentukan Malaysia Baru. Waktu itu, Anwar sudah berada di dalam penjara.

Wan Azizah 'terkontang-kanting' untuk menjaga momentum reformasi yang makin merosot menjelang turunnya Mahathir. Jika tidak kerana ustaz Fadzil yang merintis kerjasama ini, Parti Keadilan sudah lama hanyut dan berkubur. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, GERAK dilancarkan pada 27 September 1998 di Markaz Tarbiah, Taman Melewar. Puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran tersebut.

Dalam Muktamar PAS ke-45 pada Mei 1999, Ustaz Fadzil Noor menegaskan:

"Kejayaan PAS menggabungkan parti politik dan NGO dalam satu gerakan yang disebut Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK, cukup untuk membuktikan keupayaan kepimpinan PAS menerajui kebangkitan rakyat di negara ini"

Kerjasama Parti Keadilan dan PAS, membawa hasil yang begitu besar kepada PAS dan perjuangan Islam pada pilihanraya 1999. Kebijaksanaan tersebut membolehkan PAS mengekalkan kuasa di Kelantan dan berjaya menubuhkan kerajaan di Terengganu.

Juga kebijaksanaan ustaz telah melunakkan imej Islam sehinggakan YB Tian Chua yang ketika itu merupakan Naib Pengerusi Keadilan, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting pernah berkata pada tahun 2001 bahawa tidak akan adanya ISA dalam sebuah negara Islam � menyarankan bahawa negara Islam adalah serasi sepenuhnya dengan demokrasi, kemajmukan, hak asasi manusia, hak wanita, kepelbagaian budaya, pembangunan dan pemodenan.

3. Pemimpin Tidak Lupa Sejarah

Sebagai pemimpin yang bijak pendekatan tahaluf siyasi yang dikemukakan oleh Ustaz Fadzil Noor itu sebenarnya tidak terbit dari vakum. Ia adalah kerana kepimpinan terbuka dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa, pimpinan sebelumnya.

Tiada siapa dapat menafikan Tuan Guru Yusof Rawa adalah pemimpin yang bertanggungjawab membuka ruang bagi pemimpin pelapis PAS dengan gagasan 'pakatan politik untuk memenangkan dakwah dan politik Islam' ini. Idea persekutuan dengan kaum Cina sehingga tertubuhnya CCC adalah hasil sokongan Tuan Guru Yusof Rawa.

Mengambil kira itu, Ustaz Fadzil Noor seorang pimpinan yang merenung sejarah dengan tekun di mana beliau tahu juga PAS adalah berakarumbi daripada perjuangan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol. Hizbul Muslimin adalah usaha Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Ustaz Fadzil tahu keberanian dan sikap terbuka Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang bertanggungjawab merintis pelbagai tahaluf siyasi menerusi PEPERMAS, MATA, LEPIR dan seumpamanya dijadikan model baru bagi perjuangan PAS yang telah diterajui oleh Ustaz Fadzil Noor.

Ustaz Fadzil juga sedar beliau harus meminjam keberanian Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang berjaya menggabungkan lebih 80 buah parti dan persatuan Melayu dalam sebuah gerakan bernama PUTERA. Gerakan PUTERA ini berusaha menuntut kemerdekaan daripada penjajah.

Idea PUTERA inilah yang memberi ilham kepada Ustaz Fadzil Noor untuk mewujudkan gabungan lebih 80 buah parti politik dan NGO melalui GMI untuk mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang warisan penjajah, iaitu ISA. Jika tidak kerana apa yang dirintis oleh PAS ini, Bersih, gerakan untuk memberi kuasa kepada rakyat bagi menentang ketidakadilan dan penyewengan demokrasi belum tentu menjadi kenyataan. Bersih kemudiannya menjadi Barisan Rakyat yang menghukum parti tertentu dalam pilihanraya baru-baru ini.

4. Menjadikan Poros Islam Political Force

Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno satu masa dahulu menjadi luka buat penyokong gerakan Islam. Peranan mengenengahkan Islam itu terpaksa diambil alih oleh Ustaz Fadzil Noor.

Menyedari itu, PAS dibawah ustaz Fadzil juga menyedari bahawa untuk menjadikan Islam relevan di dalam masyarakat majmuk, inti pati Islam lah yang perlu diketengahkan. Falsafah dan bumbu Islam yang universal dan sentiasa munasabah sepanjang zaman perlu dijunjung.

Ustaz Fadzil adalah insan yang bertanggungjawab meminggirkan suara-suara Islam legalitas yang berwajah wahabi dengan penuh bijak untuk menjuarai Islam aktual berteraskan waqi atau keadaan setempat. Beliau telah bertanggungjawab untuk bersetuju Manifesto Bersama Barisan Alternatif dalam pilihanraya tahun 1999.

Untuk itu PAS bersetuju menggugurkan idealisme penubuhan negara Islam dalam konteks pakatan Barisan Alternatif kerana: a. Tidak berbangkit soal negara Islam dalam Manifesto; b. Tidak boleh memaksa ideologi PAS ke atas rakan dalam pakatan; c. Dalam komposisi rakyat negara ini, tidak ada parti boleh memerintah secara bersendirian; dan e. PAS perlu berkerjasama dengan rakan pakatan BA atas perkara- perkara yang sudah dipersetujui.

PAS telah bersetuju untuk memberi tumpuan kepada isu-isu yang membabitkan soal keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya sebagai agenda utama untuk perjuangan pakatan Barisan Alternatif.

Tidak ada kebijaksanaan dan keberanian Datuk Fadzil Noor yang dapat ditandingi oleh pemimpin Barisan Rakyat hari ini. Beliau telah melihat dengan bijak bahawa retorik dan cogan kata tidak penting tetapi 'isi'lah yang menjadi keutamaan.

Dengan persefahaman untuk memperjuangkan keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya bersama DAP; parti kiri berteras kaum itu secara tiada sedar telah menerima essence Islam. DAP 'diasuh' memahami yang negara Islam secara praktiknya adalah negara berkebajikan yang berteras agama, yang agama itu pula membela hak asasi dan menyebelahi golongan tertindas.

Penutup

Perjuangan PAS dan Ustaz Fadzil Noor dalam menggerakkan pemurnian semula penyelewengan demokrasi termasuk pelbagai akta yang menyekat dan mencabul hak asasi rakyat di negara ini adalah tunggak kejayaan rakyat baru-baru ini.

Rakyat yang melakukan perubahan 8 Mac lalu mesti kenal bapa kebangkitan ini: Ustaz Fadzil Noor. Pemimpin yang ada sekarang, baik sebesar manapun beliau hanyalah penerus sahaja. Tanpa usaha al-marhum ustaz, hampir tidak terfikir Barisan Rakyat berada di kedudukan ini.

Untuk jasa dan sumbangan ustaz Fadzil Noor kerana menggerakkan barisan rakyat, yang hasilnya dituai oleh sebahagian besar rakyat pada 8 Mac lalu, moleklah jika pembaca beragama Islam menghadiahkan al-fatihah untuk al-marhum./wannordin

al-Fatihah. - http://tehranifaisal.blogspot.com/ _
Almarhum Dato' Fadzil Noor Tarbiah ABIM Kepada PAS Almarhum Dato' Fadzil Noor Tarbiah ABIM Kepada PAS Reviewed by SyahiranMuhd on 11:18 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.