SPR PERLU TERBUKA
KAJANG, 13 Ogos — Seorang dekan Universiti Malaya hari ini membidas alasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menolak lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) sambil menyifatkan ia satu keputusan “memalukan.” Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Prof Dr Redzuan Othman berkata tindakan SPR menolak untuk melaksanakan tidak wajar kerana kesemua tuntutan itu boleh dilakukan badan pengurusan pilihan raya itu.
Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. “Jawapan yang diberikan tidak melambangkan satu intelektual dalam SPR yang mana SPR kata tidak boleh (laksanakan), akses media dia (SPR) kata parti politik boleh gunakan media elektronik, tempoh kempen... SPR kata melibatkan soal keselamatan.
“Dalam pilihan raya umum di Malaysia, saya lihat sejak 1974 tidak ada satu pergaduhan dan tiada pertumparan darah, kalau ada pun disebabkan kemalangan semasa pilihan raya,” katanya pada forum Reformasi Pilihan Raya dan Pemurnian Demokrasi anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kolej Dar Al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam di sini.
Justeru tegas Redzuan, SPR perlu memandang serius tuntutan yang dikemukakan Bersih 2.0 sehingga membawa perhimpunan aman pada 9 Julai lalu di ibu negara. “Isu keselamatan bukan alasan untuk kurangkan tempoh berkempen, undi pos pula SPR kata ramai pelajar kita di luar negara tapi dulu, semasa saya masih belajar di luar negara, semasa tiba pilihan raya saya pergi ke kedutaan (untuk mengundi) tapi tiada, saya tidak mahu sebut tuntutan lain...hujah yang diberikan SPR memalukan.
“Proses pilihan raya harus melambangkan rakyat merasakan keadilan, peranan SPR, saya lihat dalam soal tempoh berkempan dulu sejak 1955 tempoh berkempen selama 42 hari, kemudian pada 1969 35 hari, pada 2004 tempoh dipendekkan kepada lapan hari ini benarkan Barisan Nasional (BN) menang besar begitu juga dengan akses media, pembangkang tidak dapat akses media,” katanya.
Selain Redzuan, turut menjadi ahli panel adalah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dan Pengarah Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Puaad.
Sebelum ini Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya tidak boleh melaksanakan tuntutan Bersih 2.0 dengan alasan tidak mempunyai kuasa. Justeru beliau meminta Bersih 2.0 yang dipengerusikan Datuk Ambiga Sreenevesan agar mengemukakan lapan tuntutan berkaitan pembaharuan sistem pilihan raya kepada Putrajaya, bukannya kepada agensi itu.
Jelas Wan Ahmad, SPR tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melaksanakan lapan tuntutan itu kerana ia terikat dengan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Lebih menjurus kepada lapan tuntutan Bersih 2.0 terutamanya akses media yang bebas dan adil, Redzuan meminta agar Putrajaya mencontohi Singapura yang membenarkan semua calon bertanding mendapat kebebasan media termasuk melalui televisyen.
“Kenapa kita tidak ikut Singapura, parti-parti politik diberi peluang untuk mendapat akses media, walaupun sehari sebelum hari mengundi semua calon tidak dibenarkan berkempen, namun mereka diberi peluang untuk bercakap di televisyen. “Tapi di Malaysia media menggambarkan suasana pilihan raya sebagai perang, media memberikan gambaran yang tidak elok tentang pembangkang... tuntutan adalah tuntutan rakyat Malaysia, masyarakat sekarang tidak sama dengan masyarakat dulu... masyarakat hari ini tidak mahu diperbodohkan,” katanya.
Isu pengurusan pilihan raya semakin hangat baru-baru selepas Pakatan Rakyat mendedahkan banyak kepincangan dan penyelewengan dalam daftar pemilih termasuk tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat. Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR.
BUKA RUANG KEPADA RAKYAT MEMBUAT KEPUTUSAN
Datuk Saifuddin Abdullah mencadangkan agar kerajaan menggubal satu undang-undang baru bagi membolehkan rakyat turut serta dalam membuat keputusan terutamanya yang melibatkan isu-isu besar dan teras negara. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata selain melalui Parlimen, keputusan rakyat juga perlu diambil kira dan referendum adalah jalan terbaik untuk mendapatkan keyakinan mereka.
“Kalau dalam isu-isu yang tertentu, besar atau teras kita perlu dapatkan kelulusan daripada Parlimen, tetapi kita juga perlu melibatkan rakyat melalui referendum,” katanya pada forum Reformasi Pilihan Raya dan Pemurnian Demokrasi anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kolej Dar Al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam di sini. Selain itu, Saifuddin juga menyatakan sokongan terhadap sistem pendaftaran pengundi secara automatik selain bersetuju kelayakan umur bagi seseorang berhak untuk ditetapkan 18 tahun.
Justeru, kata beliau, perkara itu perlu dipertimbangkan untuk dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). “Saya setuju umur 18 tahun layak untuk menjadi pengundi, kalau tidak boleh pada pilihan raya umum ke-13, kita perlu ada rancangan untuk mereka menjadi pengundi.
“Saya juga bersetuju dengan sistem pendaftaran pengundi secara automatik, kita perlu permudahkan orang untuk mengundi... kalau perlu buat perubahan buatlah, kalau perlukan pindaan kita pinda,” katanya. Kini umur minimum untuk layak menjadi pengundi adalah 21 tahun. Sistem pendaftaran pengundi secara automatik merupakan tuntutan Pakatan Rakyat dan ia ditolak SPR.
Ahli Parlimen Temerloh ini juga beliau melihat politik negara dari dua persepktif yang berbeza dan pilihan perlu dilakukan parti-parti politik. “Saya ada dua pilihan, yang pertama melihat dari sudut yang berasaskan idealisme dan yang kedua berasaskan realiti, dalam politik baru dua-dua boleh tapi saya pilih yang pertama.
“Politik baru ini juga berteraskan integriti yang mana ia berasaskan ilmu bukan pengampu, sudah tentu ia adalah politik yang berhikmah bukan kotor bermaksud membuang segala masalah sekurang-kurangnya masalah seperti politik cantas-mencantas, fitnah dan rasuah,” katanya. Saifuddin menambah jurang hubungan antara kerajaan dan rakyat perlu dirapatkan.
“Dalam kerangka urus tadbir yang baru, ia perlu... dalam kerangka sekarang ia ada masalah, hubungan ini perlu diperbaiki terutamanya antara kerajaan dan masyarakat sivil. “Kalau ada kepercayaan ia boleh dilakukan,” katanya.
Bercakap tentang kemenangan Barisan Nasional (BN) sepanjang menjadi pemerintah, Saifuddin menegaskan, “hanya sebab BN tidak pernah kalah, ia tidak bermaksud pilihan raya bersih dan jika berlaku perubahan pentadbiran, ia juga tidak bermaksud pilihan raya adil.” “Kita tidak boleh berfikir macam itu. Kita perlu lihat secara realiti,” tambah beliau. (The Malaysian Insider)
No comments:
Post a Comment