Hudud gimik PAS



Pembangkang cuba raih semula sokongan selepas dikecam: PM

TANJUNG TUALANG: Kemelut antara PAS dan DAP berhubung isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan yang ditimbulkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, satu helah bagi meraih kembali sokongan kepada parti Islam itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata PAS menerima tamparan hebat dan teruk dikritik apabila Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu, membuat kenyataan keterlaluan berhubung peristiwa Bukit Kepong.
Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu sebelum ini dilaporkan mendakwa pengganas komunis yang menyerang dan membunuh anggota polis serta keluarga mereka dalam peristiwa berdarah itu adalah wira sebenar dan pejuang kemerdekaan.

Saya nampak ini taktikal sebab parti PAS telah terima pukulan cukup hebat ekoran kenyataan Mat Sabu yang menidakkan pejuang nasional dan mereka yang terkorban dalam insiden Bukit Kepong hingga menimbulkan kemarahan begitu dahsyat terutama sekali di kalangan orang Melayu.

Mereka (PAS) sedar bahawa sokongan (terhadap) mereka sudah merosot dengan begitu ketara, jadi mereka cuba timbulkan isu hudud ini dengan harapan isu (dicetuskan) Mat Sabu akan tenggelam dan mereka cuba muncul sebagai parti yang perjuangkan hudud untuk menawan hati orang Melayu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival 1Malaysia Tanjung Tualang di sini, semalam.

Khamis lalu Nik Aziz berkata, beliau tidak kisah DAP keluar daripada pakatan pembangkang jika tidak setuju dengan pendiriannya mengenai pembentukan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. Bagaimanapun, Pengerusi DAP, Karpal Singh dilaporkan berkata, cadangan Nik Aziz itu membelakangi keputusan Muktamar Tahunan PAS ke-57 Jun lalu yang menukar dasar penubuhan negara Islam kepada negara berkebajikan. Perdana Menteri berkata, pertentangan antara PAS dan DAP jelas menunjukkan kedua-dua parti itu tidak dapat lagi menyembunyikan perbezaan antara mereka walaupun cuba menutupnya di mata rakyat. Najib berkata, pembangkang turut berdepan masalah pembahagian jawatan sehingga belum dapat menyediakan Kabinet bayangan walaupun mereka melaungkan sistem dua parti kerana menyedari akan timbul percanggahan ketara antara parti dalam pakatan pembangkang jika berbuat demikian.

Mengenai kenyataan pemimpin MCA dan GERAKAN bahawa parti itu akan keluar Barisan Nasional (BN) jika undang-undang hudud dilaksanakan di negara ini, Najib berkata matlamat sesuatu pentadbiran itu mengikut Islam ialah tergolong dalam prinsip-prinsip makasid (matlamat yang ingin dicapai dalam melakukan sesuatu mengikut syarak) syariah dan antara prinsip berkenaan adalah untuk mempertahankan agama, nyawa, akhlak dan harta benda. Jadi dengan keadaan sekarang ini melalui undang-undang sedia ada, prinsip dan matlamat makasid syariah ini boleh dipertahan dan diperjuangkan oleh kita. Sebenarnya elemen lain dalam hudud sudah sedia ada tetapi (jika tiada) elemen hudud yang ekstrem bukannya bermakna tidak ada undang-undang Islam di Malaysia, katanya.

Mengulas tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memburuk-burukkan Johor di luar negara dengan membuat kenyataan negeri itu bukanlah negeri yang selamat kerana penuh dengan jenayah dan peluang untuk diculik lebih mudah berbanding Pulau Pinang, Najib berkata rakyat boleh menilai sikap itu. Walaupun kita boleh ada perbezaan dari segi pendirian dan ideologi politik tetapi kita tak sewajarnya memburukkan negara ini. Jika ini (memburukkan negara dibuat) bererti kita tidak melakukan sesuatu yang boleh menjaga kepentingan negara, jadi inilah reaksi saya jika mereka yang memburukkan negara kita di luar, maknanya tepuk dada tanya selera, katanya

Hudud gimik PAS Hudud gimik PAS Reviewed by Mohd Syahiran Muhammad on 1:15 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.