Kisah Kasih Hingga Ke Syurga....
KUANTAN(HMetro): “Arwah ayah pernah bergurau dia akan ikut sama jika emak ‘pergi’ dulu, namun saya tidak menyangka gurauannya itu menjadi kenyataan apabila mereka ditemui mati bersama dalam keadaan berpelukan,” kata Suriati Musa, 23, anak bongsu pasangan warga emas yang ditemui mati di dapur rumah mereka di Kampung Peramu di sini, semalam.
Mayat pasangan romantik hingga akhir hayat itu, Musa Daud, 64, dan Aminah Ngah, 65, dipercayai sudah meninggal dunia lebih 48 jam ketika ditemui dalam keadaan berpelukan dan sudah berbau.
Sebelum ditemui, Allahyarham Musa dipercayai cuba mengangkat isterinya yang lumpuh untuk dimandikan.
Kejadian itu hanya disedari Suriati ketika mahu menziarahi ibu bapanya kira-kira jam 3 petang semalam.
Menurut Suriati, ibu bapanya duduk berdua di rumah berkenaan berikutan dia dan adik-beradiknya tinggal berjauhan, namun dia sering menziarahi mereka setiap minggu.
“Sebaik tiba hari ini (semalam), saya dapati rumah senyap sunyi manakala semua pintu dan tingkap tertutup rapat dan berkunci,” katanya ketika ditemui.
Berikutan itu, Suriati cuba memanggil bapanya, namun tiada jawapan menyebabkan dia curiga sebelum meminta bantuan seorang jiran untuk masuk ke dalam rumah melalui tingkap.
“Kali terakhir saya menziarahi arwah ayah dan emak pada Khamis lalu dan ketika itu ayah merungut sakit pinggang,” katanya yang sudah berkahwin dan tinggal di Kampung Kempadang.
“Saya percaya mereka mungkin mati akibat terjatuh ketika ayah cuba mengangkat emak untuk memandikannya kerana selama ini ayah yang menguruskan emak yang lumpuh akibat serangan angin ahmar, lebih setahun lalu.
“Arwah ayah dan emak memang pasangan bahagia terutama ayah yang sering bergurau menyebabkan saya tak mengesyaki apa-apa ketika dia memberitahu mahu ‘pergi’ bersama andai emak meninggal dunia,” katanya.
Suriati berkata, dia tidak menyangka gurauan bapanya itu benar-benar menjadi kenyataan, tetapi tetap reda dengan kejadian itu.
Jenazah pasangan itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peramu di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha, berkata polis menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 3.30 petang dan siasatan mengenai kejadian itu masih dijalankan.
“Setakat ini, kami mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut dan menolak sebarang unsur jenayah, namun siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kematian pasangan itu.
“Yang pasti tiada kesan rumah berkenaan dipecah masuk atau kecederaan pada badan mereka,” katanya.
Oleh Khairulmizan Yahya
am@hmetro.com.my
2010/04/03
Kisah Kasih Hingga Ke Syurga....
Reviewed by Mohd Syahiran Muhammad
on
11:45 AM
Rating:
No comments:
Post a Comment