Masa depan negara musnah jika belia lesu


PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak mahu generasi muda mempunyai semangat waja, gigih dan bersedia menghadapi cabaran dalam usaha membentuk masa depan negara yang lebih cemerlang selaras hasrat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata, sikap itu perlu dipupuk dan diasuh di kalangan generasi muda supaya mereka dapat memberi sumbangan berkesan kepada negara.

"Kalau generasi (muda) lemah, tidak bersemangat apatah lagi terjebak dengan masalah sosial seperti dadah, maka rosaklah masa depan negara," katanya ketika berucap menyambut ketibaan peserta Berbasikal 1Malaysia di Kompleks Perdana Putra, di sini, semalam.

Seramai 110 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Abdullah Pekan membuat kayuhan sejauh 342 kilometer dalam Ekspedisi Berbasikal 1Malaysia yang bermula di rumah Najib di Pekan sehingga ke pejabat Perdana Menteri di sini.

Ekspedisi bermula Isnin lalu bertujuan mengisi cuti sekolah dengan program berfaedah selain mengamalkan gaya hidup sihat di kalangan generasi muda.

Najib berkata, ekspedisi berbasikal itu mencerminkan semangat waja yang perlu ada dalam generasi muda sebagai asas penentu kejayaan negara.

"Ekspedisi ini sebagai cerminan anda, sekumpulan generasi muda yang boleh diharapkan, semoga semangat ini akan jadi bekalan anda supaya dapat memberi sumbangan kepada negara," katanya.

Sementara itu, menerusi laman blognya, semalam, Perdana Menteri berkata beliau mahu melihat lebih banyak acara yang dapat mengumpulkan remaja dianjurkan bagi mengukuhkan lagi perhubungan kenegaraan dan memupuk semangat 1Malaysia di kalangan golongan itu.

Najib membangkitkan harapannya itu selepas lawatan Perhimpunan Sejuta Belia di Putrajaya hujung minggu lalu yang disifatkan ceria dan dipenuhi kegembiraan.

Katanya, menerusi acara seperti itu, beliau berpeluang menonton perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah bersama peminat bola sepak di Putrajaya pada awal subuh hari minggu.

“Perhimpunan ini benar-benar berjaya. Saya ingin melihat lebih banyak acara remaja dianjurkan untuk mengukuhkan lagi perhubungan kenegaraan dan memupuk semangat 1Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri turut memuat turun gambar di dalam blognya yang merakamkan aksi beliau dengan belia dan rakyat antaranya bersama pasukan Rally Remaja Malaysia, melancarkan Kempen Tunggang dengan Betul serta bertemu pelbagai kumpulan belia termasuk pengakap.
Masa depan negara musnah jika belia lesu Masa depan negara musnah jika belia lesu Reviewed by Mohd Syahiran Muhammad on 10:00 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.