Sisih perokok



Melaka warta lima zon larangan merokok seluas 338 hektar 15 Jun


MELAKA: Berita buruk kepada perokok dan berita baik kepada mereka yang tidak merokok di Melaka. Ini kerana mulai 15 Jun ini, orang ramai dilarang menghisap rokok di lima kawasan awam di negeri itu termasuk tempat tumpuan pelancong seperti sekitar kota peninggalan penjajahan Portugis, A’Farmosa dan pesisiran Sungai Melaka.

Ini berikutan penguatkuasaan pewartaan Zon Larangan Merokok di Bandar Warisan Dunia, yang terletak di Bandar Melaka, Melaka Raya, Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh dan pusat bandar Alor Gajah serta pusat bandar Jasin. Lima zon berkenaan membabitkan kawasan seluas 338 hektar, iaitu zon larangan merokok yang pertama di Malaysia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, ketika mengumumkannya semalam, berkata penguatkuasaan larangan merokok di lima kawasan itu tidak termasuk di premis persendirian dan mereka yang didapati merokok boleh dikenakan kompaun minimum RM300.

“Sebelum ini, kementerian hanya mewartakan 21 tempat larangan merokok seperti di panggung wayang, tandas awam, hospital dan lif, tetapi kali ini kita wartakan kawasan pula supaya peraturan ini lebih meluas,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2011 peringkat kebangsaan, di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Projek, Pembangunan Pekan Kecil, Kesihatan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Seet Har Cheow; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Azmi Hashim.

Liow berkata, susulan pewartaan zon larangan merokok di kawasan berkenaan, kementerian bertekad mewujudkan lebih banyak lagi zon seperti itu khususnya di lokasi tumpuan pelancong bagi meningkatkan kesedaran dan melindungi orang ramai daripada bahaya asap rokok.

"Selain sokongan terhadap usaha kerajaan negeri dalam Program Melaka Bebas Asap Rokok yang mencontohi amalan terbaik dan trend dunia masa kini, langkah itu ialah komitmen negara terhadap Perjanjian Rangka Kerja Bagi Kawalan Tembakau (FCTC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya.
Sementara itu, katanya, sejak Januari hingga April lalu, kementerian mengeluarkan 4,475 kompaun bernilai RM999,125 kepada pihak yang melanggar Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Daripada jumlah itu, 2,527 kompaun dikeluarkan bagi kesalahan merokok di tempat yang dilarang, pemilik premis gagal mempamerkan tanda jualan rokok kepada pembeli di bawah umur 18 tahun dan larangan merokok.

Selain itu, 1,198 kompaun dikeluarkan kepada orang belum dewasa yang didapati merokok atau memiliki hasil tembakau dan 187 kompaun kepada peniaga menjual rokok di bawah harga minimum.

INFO: Zon Larangan Merokok Melaka
Bandar Warisan Dunia - meliputi sekitar Bukit St. Paul yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan, muzium, gereja, bangunan Stadthuys, Kota A’Farmosa dan persisiran Sungai Melaka. Kawasan perumahan dan komersil yang bersejarah serta bangunan keagamaan sepanjang Jalan Tun Tan Cheng Lock (Jalan Heren), Jalan Hang Jebat (Jonker Street), Jalan Tokong/Tukang Emas/Tukang Besi dan Jalan Kampung Pantai, Jalan Merdeka, Jalan Kota Laksamana, Jalan Ong Kim Wee, Jalan Tan Chang Yan, Jalan Munshi Abdullah, Kampung Banda Kaba dan Jalan Chan Koon Cheng.

Melaka Raya - premis kedai, hotel, pusat beli belah termasuk Dataran Pahlawan dan Mahkota Parade.

Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) - bangunan kerajaan seperti Wisma Persekutuan, Menara Persekutuan, Wisma Negeri, bangunan komersial dan perniagaan seperti Pusat Boling Antarabangsa Melaka, Kota Fesyen dan hotel

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sisihperokok/Article
Sisih perokok Sisih perokok Reviewed by Mohd Syahiran Muhammad on 4:09 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.