Azizan dakwa DAP sengaja cetus isu perkauman


Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan dakwaan DAP Kedah, yang kononnya kerajaan negeri akan merobohkan kuil-kuil Hindu dan tokong-tokong Cina di negeri itu dan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai sengaja ingin mencetuskan isu perkauman.

Azizan berkata kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tidak pernah membincangkan tentang perkara merobohkan mana-mana tokong atau kuil di Kedah.


"DAP kata dia berjuang untuk semua kaum tapi kali ni nampak sengaja nak cetuskan isu perkauman sebab Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan dan majlis bandaraya pun tak pernah tau pasal perkara ini, tiba-tiba dia orang (merujuk Pengerusi DAP Kedah/Perlis Thomas Su) boleh tau," katanya ketika ditemui pemberita di Alor Star hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Thomas di Ipoh semalam yang mendakwa kerja-kerja merobohkan beberapa kuil dan tokong di kawasan Alor Star telah diluluskan oleh MBAS, lapor Bernama.

Sehubungan itu, katanya semua ahli majlis tempatan dan ketua kampung DAP Kedah meletak jawatan serta merta.

Mengenai pengumuman DAP untuk keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu, Azizan berkata sehingga hari ini masih belum ada wakil daripada parti itu datang bertemu dengannya untuk membincangkan perkara berkenaan.

"Saya cuma tahu DAP nak keluar pakatan daripada akhbar sahaja. Perkara ini boleh dibincangkan secara keluarga, tapi dibesar-besarkan dan ia tak wajar berlaku.

"DAP jangan ingat dia saja mewakili kaum Cina... MCA, PKR dan Gerakan pun wakil kaum Cina juga, saya tak nak bergaduh dengan Cina, apa sahaja bantuan semua dah bagi, kat DAP pun semua bantuan bagi, tak tau tak puas hati kat mana," katanya.

Lim nak jumpa MB

Rabu lalu, Su mengumumkan DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang kerana tidak puas hati dengan pentadbiran PAS di negeri itu yang merobohkan
pusat penyembelihan babi yang terletak di Kampung Berjaya, di Alor Star.

Sementara itu, pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang dilaporkan oleh Bernama sebagai bderkata, ketegangan yang timbul antara DAP Kedah dengan kepimpinan kerajaan negeri itu akan cuba diselesaikan di peringkat negeri.

Sehubungan itu, katanya, beliau sendiri akan berjumpa dengan menteri besar untuk membincangkan tentang perkara itu secepat mungkin.

"Saya akan berjumpa dengan menteri besar dan merangka (penyelesaian) untuk
mengatasi masalah ini supaya kerajaan pakatan dapat diperkukuhkan.

"Kalau tak dapat selesai di peringkat negeri, seluruh Malaysia pun akan bertanya adakah pakatan boleh jadi pilihan yang kredibel," katanya dalam sidang media di Alor Star hari ini.

Katanya, selepas berbincang dengan DAP Kedah, beliau kini lebih memahami dan mendapati bahawa DAP negeri mempunyai alasan tersendiri untuk keluar dari pakatan pembangkang di negeri itu.

"Isu penutupan tempat penyembelihan babi itu cuma salah satu sebab. Selain itu mereka juga mendakwa pandangan atau pendapat DAP di Kedah tidak diambil kira...apa saja masalah yang dihadapi seeloknya diselesaikan di peringkat negeri," katanya.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan keputusan DAP Kedah untuk keluar dari Pakatan Rakyat, Lim berkata "Sama ada saya setuju atau tidak, itu perkara lain".

Katanya, apa sahaja masalah yang timbul perlu diselesaikan dengan baik kerana ia bukan hanya melibatkan DAP dan PAS tetapi sebaliknya semua parti dalam Pakatan.

http://malaysiakini.com/news/107839
Azizan dakwa DAP sengaja cetus isu perkauman Azizan dakwa DAP sengaja cetus isu perkauman Reviewed by SyahiranMuhd on 1:47 PM Rating: 5

1 comment:

Unknown said...

Gerakan Gesa MB Kedah Siasat Dakwaan Kuil Dan Tokong Akan Diroboh


ALOR SETAR, 6 Julai (Bernama) -- Pemuda Gerakan Kedah menggesa Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak menubuhkan sebuah badan bebas bagi menyiasat dakwaan DAP kononnya kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk merobohkan sesetengah kuil Hindu dan tokong Cina di negeri itu.

Ketua Pemuda Gerakan negeri Tan Keng Liang berkata Azizan harus mengambil langkah segera untuk menyiasat dakwaan itu yang dianggap sangat serius dan hasil siasatan itu haruslah diumumkan.

Baru-baru ini, Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su mengulangi dakwaannya yang beliau mempunyai maklumat mengenai keputusan kerajaan negeri untuk merobohkan sesetengah kuil Hindu dan tokong Cina setelah Azizan mengatakan bahawa sebagai Menteri Besar beliau sendiri tidak tahu menahu mengenai keputusan itu.

Tan berkata Menteri Besar sepatutnya mengambil serius perkara itu dan bukannya menuduh DAP sengaja menimbulkan kebencian pelbagai kaum apabila membangkitkan isu itu.

-- BERNAMA

Powered by Blogger.