Salam Takziah : ADUN Permatang Pasir meninggal dunia

ADUN Permatang Pasir, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pagi ini.

ADUN PAS itu meninggal dunia akibat sakit jantung pada kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu mengadakan pilihanraya kecil bagi DUN Permatang Pasir dalam tempoh 60 hari.

Permatang Pasir - salah satu kerusi dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim - adalah kerusi DUN tunggal PAS di Pulau Pinang.

Dalam pilihanraya umum lalu, Mohd Hamdan memperolehi 11,004 undi untuk menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.

Ahmad Sahar mendapat 5,571 undi.

Dua bulan lalu, pilihanraya kecil diadakan bagi DUN Penanti - juga dalam parlimen Permatang Pauh - ekoran peletakan jawatan penyandangnya Mohamad Fairus Khairuddin.

Pilihanraya kecil itu dimenangi calon PKR Dr Mansor Othman dalam pilihanraya yang mencatatkan sejarah apabila jumlah pemilih yang keluar mengundi paling rendah ekoran Umno tidak meletakkan calonnya bertanding di situ.

Mohd Hamdan baru sahaja menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk pada 11 Julai lalu daripada kerajaan Pulau Pinang.

Allahyarham, pesuruhjaya PAS negeri hingga 2003, bertapak di Permatang Pasir selama tiga penggal sejak 1999.

Sebelum menceburi politik sepenuh masa, beliau berkhidmat sebagai guru di Maktab Sultan Abdul Hamid, Kedah pada 1965 hingga 1966, kemudian sebagai pegawai pentadbir kerajaan Kedah mulai tahun 1966 ehingga 1977.

Jawatan terakhirnya dalam kerajaan adalah sebagai pegawai pentadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia antara 1977 hingga 1983.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan enam anak.
http://malaysiakini.com/news/109632
Salam Takziah : ADUN Permatang Pasir meninggal dunia Salam Takziah : ADUN Permatang Pasir meninggal dunia Reviewed by SyahiranMuhd on 12:31 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.