Sudah ada pengganti saya: Nik Aziz


eksklusif Berdasarkan hirarki parti dan pentadbiran kerajaan Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dianggap pelapis nombor satu kepemimpinannya, kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Ahmad-lah. (Beliau) itu pelapis nombor satu. Orang boleh terima atau tidak (kepemimpinan) dia, wallahu a'lam. Tetapi saya sekarang ini letak dia sebagai timbalan nombor satu," kata menteri besar Kelantan kepada Malaysiakini.

"Dan tugas saya sekarang ini, saya serah pada dia. Tugas pentadbiran negeri banyak saya serah padanya."


Nik Abdul Aziz mengulas isu penggantinya setelah muncul pelbagai spekulasi berhubung perkara itu susulan cadangan exco kerajaan negeri Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah supaya “pelan peralihan kuasa” diumumkan.

Selain Ahmad, Nik Mohd Amar sendiri turut disebut-sebut mengisi jawatan itu apabila beliau dibawa bertanding di peringkat DUN dalam pilihan raya umum 2004.

Seorang lagi calon yang dispekulasikan, exco kanan kerajaan Datuk Husam Musa, bekas setiausaha menteri besar itu yang dianggap anak didik Nik Abdul Aziz.

Ketiga-tiga Husam, Nik Mohd Amar dan Ahmad timbalan pesuruhjaya PAS negeri.

Ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, Nik Aziz berkata, berdasarkan hirarki tersebut, beliau tidak memerlukan satu pelan peralihan kuasa yang khusus kerana penggantinya akan dipilih secara automatik berdasarkan kekananan jawatan.

"(Secara) automatiklah. Automatik cara parti. Betul ke begitu, wallahu a'lam. Tetapi persiapan payung itu ada. Bila hujan, kita ada payung.

"Hendak pakai payung atau pergi begitu sahaja, terpulanglah," jelasnya, Khamis lalu.

Beliau, yang juga mursyidul am PAS, menambah, dalam masa terdekat ini, tiada sebarang peralihan akan dibuat kerana tiada tuntutan daripada parti itu.

"Orang PAS tidak ada (desak peralihan kuasa). Tengoklah, di tepi-tepi jalan, (orang berdemonstrasi sebut) 'jangan kacau Tok Guru'," katanya, merujuk demonstrasi besar menyokong kepimpinannya, 4 Disember lalu.

Tambahnya, hanya masalah kesihatannya – yang sering mendapat rawatan – dan arahan parti sahaja yang boleh membuatkannya, kini 78 tahun, berundur daripada jawatannya.

"Selagi PAS terima saya, saya berkhidmat. (Kalau) PAS kata, 'petang ini, berhentilah Tok Guru', saya berhenti terus," kata Nik Abdul Aziz.


Berikut petikan wawancara berhubung isu tersebut:

Kesihatan Tok Guru, alhamdulillah sekarang?

Alhamdulillah. Kalau berdiri lama sedikit, letih. Dan doktor kata, kalau letih jangan lawan. Umur sudah tua. Jantung pula pakai bateri. Hidup saya sekarang, selain dengan ubat, (bergantung juga dengan) doa orang.

Cina pun berdoa untuk (kesihatan) saya. Cina datang jumpa saya, (kata) 'jangan mati lagi Tok Guru.'

Cina pun larang saya mati kerana dia dengar daripada mulut saya apa yang dia tidak pernah dengar daripada mulut orang Umno

Tok Guru tidak rasa hendak berehat daripada politik? Apa yang boleh menyebabkan perkara itu? Masalah kesihatan?

Politik tidak boleh rehat. Yang boleh rehat, daripada parti. Parti lain, politik lain. Politik ini tidak ada orang boleh terkecuali. Parti tidak apa. Boleh jadi saya rehat daripada parti, tetapi politik tidak boleh rehat.

Kenapa sekarang keluar isu peralihan kuasa di Kelantan?

Yang minta ini Umno, PAS tidak. Kerja Umno memang begitu, sejak dulu lagi suruh saya berhenti.

Exco Kelantan sebut baru-baru ini, eloklah Tok Guru umum pelan peralihan kuasa.

Tanya dialah. Saya sendiri tidak tanya lagi dia.

Sekarang ini tidak ada lagi pelan peralihan dalam masa terdekat?

Tidak ada. Orang PAS tidak ada. Tengoklah, di tepi-tepi jalan, (orang berdemonstrasi sebut) 'jangan kacau Tok Guru.'

Kami buat secara spontan pada Jumaat baru-baru ini (4 Disember).

Tetapi Tok Guru pernah kata pada 2004, pelan peralihan sedang dijalankan apabila Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Husam Musa diminta bertanding di peringkat DUN. Ada atau tidak pelan peralihan? Dan jika ada, apa statusnya sekarang?

(Tentang) peralihan ini, saya ada tiga timbalan (pesuruhjaya negeri). Buat apa ada tiga timbalan kalau bukan untuk peralihan.

(Ada) timbalan 1, timbalan 2, timbalan 3, ada dewan harian, ada badan perhubungan (negeri). Ini semua alat untuk pelapis (kepimpinan).

Ini sistem parti, semua negara ada macam ini. Jadi, (soal) peralihan, saya tidak perlu buat peralihan. Kalau saya uzur, orang lain akan ganti.

Sekarang ini saya hendak pergi Mekah, saya buat surat pada tuanku (Sultan Kelantan), 'patik hendak ke Mekah.'

Dan saya tugaskan kerja harian saya kepada timbalan saya. Itu biasa. Oleh kerana tidak jadi pergi Mekah, saya tarik balik surat itu. Itu biasa sahaja. Umno tidak ada modal.

Tadi Tok Guru sebut ada timbalan, ada hirarki parti, kita tidak perlu pelan peralihan. Maksudnya, bila terjadi apa-apa, secara automatiknya (kepimpinan) pergi kepada nombor dua (timbalan)?

Automatiklah. Automatik cara parti. Betul ke begitu, wallahu a'lam. Tetapi persiapan payung itu ada. Bila hujan, kita ada payung. Hendak pakai payung atau pergi begitu sahaja, terpulanglah.

(Amalan) itu diguna di seluruh dunia. Mana-mana persatuan, boleh jadi persatuan perompak pun ada pelapisnya juga.

Maknanya pelapis kepimpinan Tok Guru, Ahmad Yaacob-lah?

Ahmad Yaacob-lah, itu pelapis nombor satu. Orang boleh terima atau tidak dia, wallahu a'lam. Tetapi saya sekarang ini, (parti) letak dia sebagai timbalan nombor satu.

Dan tugas saya sekarang ini, saya serah pada dia. Tugas pentadbiran negeri banyak saya serah pada dia.

Dulu (anaknya) Nik Abduh (Nik Aziz) pernah tulis, kalau Tok Guru hendak berhenti, jangan halang. Pelik, tidak ada orang suruh Tok Guru berhenti, tiba-tiba ada orang kata jangan halang.

Wallahu a'lam. Tanya dialah. Saya hanya beri kaedah politik pada anak saya. Tetapi saya tidak ajar. Kenapa? Politik bukan boleh diajar. (Politik) ini pengalaman. Saya sendiri orang tidak ajar saya.

Tetapi saya baca buku, saya lihat internet, saya dengar nasihat orang. Itulah politik. Politik mana boleh diajar? Kalau ajar, kita buat apa yang orang ajar, bukan buat kehendak sendiri.

Jadi Tok Guru hendak tunggu berapa lama lagi untuk berkhidmat?

Mana saya tahu? Umur saya berapa, gagah tidak gagah, mana saya tahu? Selagi PAS terima saya, saya berkhidmat. (Kalau) PAS kata, petang ini berhentilah Tok Guru, saya berhenti terus.

Tetapi kalau Umno suruh berhenti, saya kata, 'memang kerja kamu suruh aku berhenti'. Lama sudah (suruh berhenti). Saya berasa bangga kalau Umno benci pada saya. Tanda saya ini boleh kacau.

Bila saya uzur, maka tugas wajib sebar Islam itu beralih pada orang lain. (Membaca ayat al-Quran) 'Allah tidak paksa manusia, kecuali padan dengan tenaganya.'

Bila saya uzur, tidak wajib pada saya lagi (tunai kepemimpinan Islam). Orang lain pula wajib. Orang lain itu siapa, pandai-pandailah. Bukan macam keturunan, lepas daripada saya, (diwarisi) orang ini.

Maksudnya faktor kesihatanlah (boleh buat Tok Guru berundur)?

(Faktor) kesihatan. Orang hendak letak (saya) lawan Umno, bukan dengan bertumbuk, (tetapi) lawan dengan otak. Tubuh saya sakit tetapi otak saya, alhamdulillah, Tuhan bagi siuman.

Kenapa Umno menimbulkan isu peralihan kuasa di Kelantan? Hendak melagakan tiga timbalan (pesuruhjaya) Tok Guru?

(Itu) kerja dia. (Isu) pembangunan, kami di Kelantan buat pembangunan. Umno, mereka jual (isu) pembangunan. Dalam DUN (Kelantan) baru-baru ini, seorang pun tidak sebut hal pembangunan. Sebab dia tengok sendiri pembangunan (di Kelantan).

http://malaysiakini.com/news/119976

Sudah ada pengganti saya: Nik Aziz Sudah ada pengganti saya: Nik Aziz Reviewed by SyahiranMuhd on 1:09 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.