Memperkasakan Ahli Sunnah Waljamaah Di Malaysia:Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali

Menurut Abdul Shukur Husain dalam Syarahan Perdana yang bertajuk “ Ahli Sunnah waljamaah Pemahaman Semula” pada tahun 1998 menyebutkan bahawa masyarakat Islam di Malaysia ini telah lama menerima dan mengamalkan Islam berdasarkan pendekatan Ahli Sunnah Waljamaah. Dalam aspek akidah pegangan yang dihayati dan sebati ialah fahaman Asya’irah dan Maturidiah. Fahaman ini sinonim dengan Ahli Sunnah. Natijahnya telah menampakkan kesan yang baik kepada kestabilan rohani dan masyarakat.

Dalam zaman globalisasi ini, keresahan tetap timbul bila fahaman-fahaman lain ditonjolkan di dalam masyarakat Islam walaupun fahaman-fahaman itu pada hakikatnya masih di bawah payung Ahli Sunnah. Masyarakat Islam yang masih lagi mencari hakikat Ahli Sunnah tidak harus dilibatkan dalam kancah fahaman yang sempit menerusi doktrin dan tokoh-tokoh tertentu sahaja. Malah umat Islam di Malaysia tidak harus dilibatkan kancah perpecahan kerana doktrin serpihan tersebut. Natijahnya seperti biasa, melahirkan percanggahan dan keresahan dalam masyarakat.

Majoriti umat Islam di Malaysia malah di rantau ini telah berabad-abad lamanya menerima dan mengamalkan Islam berasaskan pendekatan aliran Ahli Sunnah Waljamaah hingga menjadi begitu dominan dan berwibawa. Hakikat ini telah menjadikan Malaysia malah rantau ini paling seragam dalam pegangan akidah, amalan syariah dan akhlak berbanding dengan masyarakat Islam di rantau lain. Keadaan ini secara tidak langsung memberi sumbangan kepada kestabilan politik, masyarakat dan perpaduan ummah.

Tun Mahathir sering menyebutkan pepecahan umat Islam disebabkan perpecahan antara mazhab dan kumpulan dalam akidah yang sekaligus melemahkan sektor politik umat Islam, Oleh pendekatan ahli sunnah waljamaah yang sederhana harus disuburkan kerana ia tunggak kestabilan politik Malaysia. Pendekatan Ahli Sunnah yang sebati dihayati oleh masyarakat Islam di Malaysia dalam aspek akidah dan kepercayaan ialah fahaman dan aliran Asyairah dan Maturidiah. Aliran Asyairah yang diasaskan oleh Abu Hasan bin Ismail Asyaari (w.330H) dan aliran Maturidiah diasaskan oleh Abu Mansur Muhammad bin Muhammad Maturidi (w. 333H.).

Kedua-dua aliran ini, fahaman dan pendekatan mereka sealiran dan sederhana. Menurut Abdul Shukur Husain lagi bahawa fahaman kedua-dua aliran tokoh di atas sangatlah kukuh dan sukar dirungkai, terutamanya di kalangan orang awam. Masyarakat Islam akan merasa ganjil dan resah apabila terdapat aliran lain yang berbeza daripada apa yang telah mereka anuti. Dalam konteks ini kekuatan pegangan masyarakat Islam Malaysia kepada aliran Asyairah dan Maturidiah dapat dilihat menerusi kitab akidah yang menjadi bahan pengajian dan sumber rujukan sama ada di institusi pengajian formal atau di institusi tidak formal seperti pengajian halaqah di masjid atau surau. Keseluruhannya menggunakan kitab berorientasikan aliran Asyairah dan Maturidiah seperti kitab Ihya’ Ulumiddin al-Ghazali, Ibanah oleh Abu Hassan al-Asyaari dan lain-lain.

Kejayaan kedua-dua dalam membela dan mempertahankan Ahli Sunnah Waljamaah daripada penyelewengan kumpulan sepihan kerana pendekatan kesederhanaan aliran ini. Kesederhanaan sikap dan pendekatan Abu Hassan Asyaari berjaya apabila menolak golongan yang berpegang kepada akal dalam menafsirkan teks dengan golongan yang berpegang kepada literal teks. Kesederhanaan ini dapat dilihat apabila ia menyeru umat Islam kembali kepada teks al-Quran dan al-Sunnah dan tidak pentakwilan yang jauh. Sementara itu, beliau juga menentang jumud pemikiran dan menyeru agar peranan akal dikembalikan berseiringan dengan wahyu. Beliau berpendapat bahawa dengan adanya paduan antara akli dan naqli, adalah lebih mudah untuk meningkatkan kefahaman masyarakat Islam tentang akidah dan sekaligus memudahkan pula penyebarannya kepada masyarakat yang belum Islam.

Kebanyakan tokoh-tokoh Asyairah adalah bermazhab Syafii, dan Abu Hasan Asyaari dalam fikahnya juga bermazhabkan Syafii. Hal ini mungkin disebabkan terdapatnya persamaan dasar di antara kedua-dua aliran ini iaitu dasar kesederhanaan. Imam Syafii juga dianggap tokoh yang memilih pendirian sederhana di antara pendekatan Imam Malik yang mengutamakan kehendak Hadith di dalam membuat hukum dan Imam Abu Hanifah yang banyak menggunakan akal. Kesederhanaan pendekatan Asyaari dalam bidang akidah dan pendekatan Syafii dalam fikah adalah faktor penting. Ia sangat mudah diterima dan menguasai sebahagian besar masyarakat Islam di Malaysia. Mana-mana golongan yang ingin mengugatkan kedudukanb akan menghadapi tentangan dari majoriti umat Islam di Malaysia,

Menurut Al-Qaradawi pemikiran salafi iaitu menjadikan para sahabat nabi dan mereka yang megikuti para sahabat untuk diteladani. Ini disebabkan bahawa sebaik-baik kurun ialah kurun para sahabat dan mereka yang mengikutinya yang mendapat petunjuk al-Quran dan al-Sunnah. Antara ciri-ciri salafi iaitu berhukum berdasarkan kepada nas-nas yang qat’i, mengembalikan perkara-perkara yang meragukan kepada perkara yang muhkam dan perkara-perkara yang samar-samar kepada yang lebih meyakinkan, menyeru kepada ijtihad dan pembaharuan dan menolak pemikiran sempit dan taklid. dan menyeru kepada peradaban bukannya bermaki-makian dalam bidang akidah dan feqah. Inilah hakikat pemikiran salafi yang sebenar yang jauh dari sifat fanatik kepada golongannya.

Namun kini, perkataan salafiah ini sering dikelirukan dengan melihat mereka adalah golongan yang sukakan perdebatan dalam bidang tauhid, menumpukan kepada perkara-perkara sampingan manakala musuh-musuhnya pula mengatakan salafiah ini adalah golongan yang ketinggalan dan mundur. Oleh itu, pendekatan yang terbaik umat Islam ialah kesederhanaan yang mengabungkan salafiah dan pembaharuan, perseimbangan antara perkara yang tetap dan perkara yang berubah-ubah, menghindarkan diri daripada perkara jumud dan kefahaman yang menyeluruh tentang Islam. Bagi sesetengah masyarakat awam di Malaysia, terutama pesara-pesara yang baru berjinak dengan Islam lebih suka kepada aliran ini disebabkan ia lebih mudah dan agama ini merupakan urusan peribadi. Tidak perlu menjalankan aktiviti-aktiviti di Masjid seperti sambutan maulidur rasul, bacaan yassin dan talqin.

Antara ciri-ciri kesederhanaan iaitu perseimbangan antara golongan yang menyeru kepada mazhab yang sempit dengan golongan yang tidak mahu berpegang kepada mazhab, perseimbangan antara golongan yang memuliakan turath dan kitab jawi sehingga tidak ada kitab yang terlebih baik dari kitab-kitab tersebut dengan golongan yang menolak buku-buku turath dan hanya membaca buku-buku tokoh-tokoh mereka sahaja. Perseimbangan antara golongan yang melampau dan fanatik di dalam mentaati seseorang ketua dan syeikh tariqat dengan golongan yang melampau di dalam gerak kerjanya seolah-olah beliau bukan anggota jamaah. Oleh itu, umat Islam perlu mensufikan orang –orang salafi dan mensalafikan orang-orang sufi.

Dalam satu kajian bertajuk "Civil Democratic Islam : Patners, Resources and Strategis" (2003) telah diterbitkan oleh RAND Corporation sebuah badan penyelidikan dan penasihat yang berpengaruh di Washington. Dalam kajian ini, umat Islam dinilai dari segi kecenderungan pemikiran mereka sama ada tradisionalis, fundamentalis, modernis atau sekularis. Kajian ini memperlihatkan bagaimana cara untuk mengadu-dombakan umat Islam melalui pengelompokan ini. Kajian itu menegaskan bahawa golongan modernis dan sekularis seperi aliran Kamal Atartuk, dan juga pertubuhan bukan kerajaan bercirikan liberal perlu didokong secara halus dengan lambakan dana penajaan, ruang media dan penonjolan idola untuk dipuja. Ini dapat dilihat melalui golongan liberal dianggap sebagai refomis Islam.

Golongan tradisional Salafi dan Wahabi pula disaran agar didokong manakala golongan fundamentalis seperti gerakan Islam hendaklah dipinggirkan. Berlaku perbalahan antara golongan tersebut dalam isu-isu remeh dan persoalan furu'. Perbalahan dan pertelingkahan perlu disuburkan agar sumber kekuatan umat Islam dilelahkan tanpa sebarang manfaat yang jelas. Oleh itu umat Islam tidak perlu terperangkap dengan permainan musuh yang ingin mendombakan dan melemahkan umat Islam.
Memperkasakan Ahli Sunnah Waljamaah Di Malaysia:Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali Memperkasakan Ahli Sunnah Waljamaah Di Malaysia:Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali Reviewed by Mohd Syahiran Muhammad on 8:40 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.