Pembentukan KAUKUS Rentas Parti Bagi Penglibatan Mahasiswa Dalam Politik

SEKATAN PENGLIBATAN MAHASISWA DALAM POLITIK: PEMBENTUKAN KAUKUS RENTAS PARTI BAGI PENGLIBATAN MAHASISWA DALAM POLITIK

Pengumuman YB Datuk Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi tentang keputusan Kabinet meneruskan sekatan terhadap penglibatan mahasiswa dalam politik menggambarkan sebuah Kerajaan yang ketinggalan dengan perubahan yang berlaku di persekitarannya.

Tindakan Kerajaan melayan tentangan daripada Tun Mahathir Mohamad dan kuncu-kuncunya bermakna pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak lebih prihatin dengan pandangan lapuk berbanding keperluan mendengar dan berinteraksi dengan generasi masa depan.

Faedah membenarkan mahasiswa terlibat di dalam politik sudah diketahui umum dan telah dibahaskan berkali-kali di peringkat nasional. Lebih penting lagi, matlamat negara melahirkan modal insan yang berdaya saing mesti menekankan pendidikan menyeluruh yang melangkaui bilik kuliah dan kurikulum yang diajar. Generasi yang kreatif dan inovatif lahir daripada minda yang bebas – yang diberikan sepenuhnya peluang berbahas, berbincang dan lebih penting lagi melakukan kesilapan agar mereka belajar daripada kesilapan mereka.

Kita cuma menunggu masa sebelum mahasiswa negara ini yang membentuk kelompok pengundi yang penting, menghantar mesej menolak Barisan Nasional; memandangkan petanda jelas daripada Pilihan Raya Umum 2008 telah diketepikan begitu sahaja.

Tindakan seterusnya untuk menyanggah keputusan Kabinet bahawa mahasiswa tidak bersedia terlibat di dalam politik ialah dengan menggambarkan kematangan dan pengaruh sebenar mahasiswa dan anak muda.

Kami dengan ini menggesa pembentukan kaukus rentas parti oleh ahli politik muda daripada semua parti bagi memperjuangkan penglibatan mahasiswa di dalam politik.

Sebelum ini kami menyambut baik bahawa ada rakan-rakan kami di dalam Barisan Nasional yang turut berkongsi keyakinan bahawa membenarkan mahasiswa terlibat di dalam politik dan proses politik bagi menggembleng potensi anak muda menyumbang kepada negara sepenuhnya.

Usaha Timbalan Menteri YB Datuk Saifuddin Abdullah untuk menarikh perhatian terhadap isu ini beserta tentangan daripada YB Khairy Jamaluddin terhadap pengumuman Kabinet tempoh hari menggambarkan kita boleh mewujudkan penyelesaian rentas parti terhadap isu ini.

Justeru, memandangkan komitmen mereka, kami ingin menjemput YB Datuk Saifuddin untuk mempimpin kaukus rentas parti dalam isu ini. Jika rakan-rakan kami daripada Barisan Nasional benar-benar ikhlas tentang masa depan generasi muda, peluangnya terbuka luas untuk mereka membuktikan keikhlasan mereka.

YB NURUL IZZAH ANWAR, Ahli Parlimen Lembah Pantai
YB YUSMADI YUSUF, Ahli Parlimen Balik Pulau
YB YUNUS JAMHARI, ADUN Kuala Kurau
YB KESAVAN, ADUN Hutan Melintang
YB NIK NAZMI AHMAD, ADUN Seri Setia
YB CHAN MING KAI, ADUN Simpang Pulai
YB CHANG LIH KANG, ADUN Teja
YB SIM TZE TZIN, ADUN Pantai Jerejak
YB AMIRUDDIN SHARI, ADUN Batu Caves
YB GAN PEI NEI, ADUN Rawang

Pembentukan KAUKUS Rentas Parti Bagi Penglibatan Mahasiswa Dalam Politik Pembentukan KAUKUS Rentas Parti Bagi Penglibatan Mahasiswa Dalam Politik Reviewed by Mohd Syahiran Muhammad on 10:18 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.