"Hukuman sebat beri kami keinsafan"

Gambar Hiasan

KAJANG: Tanpa mengetahui bentuk sebatan yang akan dilaksanakan ke atas mereka, tiga wanita yang menjadi kumpulan pertama menjalani hukuman mengikut undang-undang syariah di negara ini tetap reda kerana insaf dan bertaubat atas kesalahan lalu.

Walaupun akhirnya mendapati hukuman itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan kerana kaedah yang berbeza dengan sebatan sivil, wanita terbabit menganggap hukuman itu memberi kesedaran mendalam.

Seorang daripada mereka yang juga ibu kepada bayi berusia kira-kira setahun, menganggap hukuman itu sebagai peluang yang diberikan Allah untuk beliau kembali ke jalan yang diredai.

Ayu (bukan nama sebenar) yang berusia pertengahan 20-an berkata, hukuman sebatan yang diterimanya tidak mencederakan atau menyakitkan, sebaliknya memberi keinsafan dan mengurangkan tekanan jiwa yang ditanggung mereka.

Menceritakan detik disebat pada 9 Februari lalu, Ayu berkata selepas menerima sebatan pertama, beliau memperbanyakkan istighfar dan apa yang terlintas dalam fikirannya ketika itu hanya mengharapkan keampunan daripada Allah.

Beliau yang menyerah diri di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebelum didakwa mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, kini menjalani hukuman penjara dua bulan, denda RM1,000 dan empat sebatan.

“Saya tidak mengemukakan rayuan kerana saya reda dengan apa juga hukuman diputuskan mahkamah, malah saya wajar menerima hukuman itu, jika tidak saya tak akan sedar sampai bila-bila.

“Hukuman itu memberi kesedaran mendalam dalam jiwa saya. Allah memberi peluang untuk saya bertaubat dan kembali ke jalan-Nya,” katanya kepada pemberita di Penjara Wanita Kajang, di sini petang tadi.

Wakil media yang hadir ke Penjara Kajang juga menyaksikan demonstrasi hukuman sebat ke atas pesalah syariah wanita. Mengikut peruntukan undang-undang syariah, hukuman itu hanya dijalankan ke atas pesalah yang disahkan sihat oleh pegawai perubatan hospital kerajaan.

Selain itu hukuman dilaksanakan dalam keadaan pesalah menutup aurat oleh pegawai sebat wanita.

Malah rotan yang digunakan ditetapkan pada ukuran maksimum iaitu 1.22 meter panjang, manakala 1.25 sentimeter dari segi ketebalan bergantung keputusan mahkamah.

Seorang lagi wanita yang disebat, Aishah (bukan nama sebenar), 18, mengakui hukuman yang dikenakan itu masih tidak setimpal dengan dosa yang dilakukannya.

Katanya, walaupun terkejut ketika keputusan dibacakan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada Disember lalu, beliau yakin hukuman sebatan mampu mendatangkan keinsafan.

“Walaupun saya berdebar, saya reda dan saya patut terima hukuman itu kerana hukuman di akhirat lebih hebat tetapi sekurang-kurangnya saya insaf.

“Saya tidak buat rayuan kerana tidak mahu menyusahkan lagi ibu bapa saya yang mengharapkan saya menjadi manusia berguna,” katanya yang kematian bayi pramatang berusia tujuh bulan pada November lalu.

Seorang lagi wanita yang mahu dikenali sebagai Nur dan berusia pertengahan 20-an berkata, hukuman enam sebatan yang dilaluinya dapat mengurangkan tekanan jiwa yang ditanggung selepas melahirkan anak luar nikah hampir tiga tahun lalu.

Nur yang menganggap diri sebagai insan terpilih kerana diberi peluang menjalani hukuman itu, berkata perasaan reda dengan hukuman itu menyebabkan dia tidak merasai kesakitan akibat disebat.

Katanya, dia tidak dapat berkahwin dengan pasangannya yang juga menerima hukuman di Penjara Kajang kerana berdepan dengan masalah wali apabila bapanya meninggalkan keluarga sejak enam tahun lalu.

“Selepas menjalani hukuman ini, saya berserah pada Allah semoga diampunkan segala dosa kami,” katanya.

http://www.bharian.com.my/

"Hukuman sebat beri kami keinsafan" "Hukuman sebat beri kami keinsafan" Reviewed by SyahiranMuhd on 9:10 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.