Seronok rancang kebakaran


PERCIKAN api amat mengujakan golongan ini. Malah dalam keadaan tertentu, api yang membakar bangunan, hutan atau harta benda, memberi kepuasan yang tidak terhingga kepada mereka.

Golongan ini yang digelar arsonis mungkin membakar bangunan untuk menimbulkan huru-hara dan perasaan cemas, membiarkan premis pejabat atau kilang miliknya hangus bagi menuntut pampasan insurans, atau membakar kediaman bagi menakut-nakutkan penghuninya seperti yang kerap dilakukan ah long.

Terdapat juga laporan seorang pembantu rumah membakar rumah majikannya tanpa diketahui sebabnya.

Biarpun apa motifnya, tidak puas hati, kecewa, dendam atau sekadar untuk memenuhi kehendak diri, kes yang melibatkan mereka yang gemar menggunakan api sebagai senjata untuk menzahirkan perasaan semakin meningkat kebelakangan ini.

Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr. Ahmad Hatim Sulaiman menjelaskan terdapat dua kategori ‘penghidup api’ atau golongan yang mencetuskan kebakaran ini.

“Kumpulan pertama ialah arsonis atau pembakar. Golongan ini secara jelasnya terlibat dalam kebakaran yang bermotifkan jenayah,” katanya.

Ahmad Hatim menambah, kategori ini seringkali membabitkan kumpulan remaja bermasalah atau mereka yang mengalami kecelaruan tingkah laku.

MARAK api yang membakar boleh jadi dinyalakan oleh manusia atas motif jenayah atau masalah psikologi.

Lebih menakutkan, golongan ini tidak mempedulikan tentang kerosakan besar yang mungkin mereka lakukan. Bahkan ia seolah-olah menjadi permainan yang menyeronokkan.

“Sebanyak 75 peratus daripada penjenayah yang ditangkap melakukan kebakaran datang daripada kumpulan ini.

“Mereka bermula dari umur remaja dan tingkah laku ini sukar dihentikan walaupun menginjak usia dewasa.

“Justeru, tidak hairan mengapa golongan pembakar ini mempunyai sejarah gemar melakukan kebakaran melibatkan harta benda awam, persendirian atau apa saja sejak remaja,” ujar Ahmad Hatim.

Kegilaan

Bukan sekadar itu, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada mempunyai kecenderungan menggunakan api sebagai medium meluahkan perasaan.

“Ini seringkali melibatkan kanak-kanak berumur lima hingga 10 tahun.

“Mereka tidak menyedari bahaya api dan menggunakannya untuk mendapat perhatian daripada ibu bapa,” beliau memberi amaran.

Namun tambahnya, golongan ini akan berhenti apabila semakin dewasa.

Bagi kategori kedua, Ahmad Hatim menyatakan ia lebih kepada permasalahan mental yang dikenali sebagai pyromania.

“Ia berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud kegilaan kepada api. Dalam penilaian psikiatri, ia merupakan kecelaruan dan kegagalan mengawal impuls.

“Berbeza dengan arsonis, mereka gagal menolak atau mengawal diri daripada menghidupkan api.

“Ini berbeza sama sekali dengan arsonis yang akan merancang sesuatu kebakaran,” jelasnya.

Menurut Ahmad Hatim, meskipun peratusan penghidap pyromania di negara ini tidak sampai satu peratus, kecenderungan untuk menggunakan api sebagai cara menghilangkan tekanan tidak harus dipandang remeh.

“Walaupun tidak bermotifkan jenayah, ia mampu membawa kecelakaan kepada orang lain serta persekitaran,” katanya.

Selain mencetuskan euforia, penghidap pyromania seringkali terpaku apabila melihat balai bomba, ahli bomba atau peralatan memadamkan api.

Bagi Penolong Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Amer Yusof, terdapat profil tertentu bagi arsonis secara umum.

BEBERAPA kejadian kebakaran di negara ini kebelakangan ini turut dikaitkan dengan golongan arsonis.

Dengan kejadian kebakaran yang diklasifikasikan sebagai niat jahat, Amer menjelaskan ia biasanya berlaku secara berturut-turut di beberapa tempat tetapi dalam sela masa yang agak dekat.

“Selepas saja kebakaran pertama, akan berlaku kebakaran di tempat lain yang tidak jauh dari situ dan disusuli pula dengan dua atau tiga lagi kebakaran,” terang Amer.

Profil arsonis

Tambah beliau, penggunaan bahan pencetus api yang bersifat tahan lama dan marak seperti kerosin dan gasolin turut menjadi salah satu profil arsonis

“Terdapat juga kemungkinan mereka menggunakan peralatan elektrik bagaimanapun setakat ini pihak bomba belum berhadapan dengan kes sebegitu.

“Namun, di luar negara, ia merupakan perkara biasa walaupun penggunaan bahan terbabit agak rumit,” katanya.

Bercakap mengenai beberapa kes kebakaran yang berlaku di dalam negara baru-baru ini, Amer memberitahu secara amnya boleh dikatakan ia dilakukan oleh golongan amatur.

Dengan statistik kebakaran dengan niat jahat sebanyak 152 kes pada tahun 2009, ia jelas menunjukkan satu lagi corak jenayah sedang berkembang di Malaysia.

“Tidak seperti di luar negara, arsonis serta cara kebakaran yang dilakukan kelihatan lebih cukup profesional dan kompleks.

“Malah turutan masa kebakaran adalah lebih pendek dan melibatkan skala kebakaran yang besar,” ujarnya.

PENGGUNAAN api bagi menzahirkan perasaan kini semakin mencetuskan kebimbangan. – Gambar hiasan

Dalam pada itu, bukti fizikal yang sering diperoleh oleh unit siasatan kebakaran bomba ialah pemindahan barang-barang berharga dari kawasan kebakaran sekali gus membuktikan kebakaran itu memang dirancang.

Amer juga tidak menolak pelaku arsonis mempunyai sifat penakut, suka merancang sendiri dan sukar dijangka.

“Daripada siasatan pihak Bomba berhubung pencetus kebakaran menunjukkan ia dilakukan oleh seseorang yang kurang berani.

“Namun, dengan mencetuskan kebakaran, bukan hanya satu malah beberapa kebakaran, ia memberi kepuasan kepada si arsonis,” ujar Amer.

http://www.kosmo.com.my/
Seronok rancang kebakaran Seronok rancang kebakaran Reviewed by Mohd Syahiran Muhammad on 9:34 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.