Kemunduran politik punca kejatuhan negara


KUALA LUMPUR 23 Feb. - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mengingatkan semua pihak bahawa kejatuhan sesebuah negara bermula dengan kemunduran akibat budaya dan persekitaran politik yang membunuh perkembangan intelek.

Baginda bertitah, perkara negatif itu berpunca daripada perasaan takut dan gentar di kalangan pemimpin yang merasakan kedudukan mereka mungkin tercabar.

Titah baginda, pemikiran sedemikian amat destruktif kerana ilmuwan sepatutnya terus dimuliakan bagi membina kekayaan dan khazanah intelek negara.

"Pimpinan yang stabil dan negara yang maju sentiasa memilih pendirian untuk mendampingi dan bekerjasama dengan ilmuwan dan menyediakan persekitaran politik yang tidak memusuhi kumpulan ilmuwan.

"Kekayaan intelek negara harus terus ditambah melalui usaha-usaha yang memberikan dorongan dan keyakinan kepada ilmuwan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sewaktu melancarkan buku Knowledge, Language, Thought And The Civilization Of Islam: Essays In Honor Of Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Kampus Antarabangsa, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah sarjana Islam terkemuka, Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas; Pro Canselor UTM, Tan Sri Dr. Abdullah Ayub serta Datuk Dr. Muhamad Ridzuan Muhamad Salleh dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang.

Buku terbitan UTM Press itu mengandungi 22 esei hasil penyelidikan 24 sarjana dengan tujuan merakamkan pengiktirafan terhadap Syed Muhammad Naquib selaku ilmuwan bertaraf dunia.

Penulis esei berkenaan terdiri daripada sarjana dari serata dunia seperti Afrika Selatan, Amerika Syarikat (US), Bahrain, Mesir, Gambia, Iran, Iraq, Jerman, Macedonia, Belanda, Russia, Turki, United Kingdom (UK) di samping sarjana tempatan.

Terdahulu sewaktu mengulas pemikiran Syed Muhammad Naquib, Raja Nazrin bertitah bahawa ilmuwan itu tidak pernah mendapatkan naungan politik untuk melonjakkan kedudukan kerana tidak mahu pemikirannya terikat dengan mana-mana kumpulan politik.

Baginda bertitah, pendirian berkenaan adalah kerana ilmuwan terbilang itu tidak reda kejernihan tasik pemikirannya dicemari oleh pelbagai polemik dan persengketaan politik atas hasrat mendapat, mengguna, menyalahguna mahupun mempertahankan kuasa.

Titah baginda, Syed Muhammad Naquib juga mentafsirkan bahawa kemerdekaan sebenar bermula dengan kemerdekaan minda untuk berfikir dan bertindak bersandarkan prinsip ilmu, pengetahuan dan tradisi bernilai sesebuah negara.

"Pada hemat beliau, bila berlaku perselisihan pandangan atau kelainan tafsiran di antara seorang sarjana dengan kerajaan dalam perkara-perkara tertentu, kerajaan jangan terlalu cepat menganggap mereka sebagai ahli politik pembangkang yang memang lazimnya mencari kesalahan untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan.

"Tetapi hendaklah dihargai bahawa minda seseorang sarjana itu merasakan dirinya bertanggungjawab mendidik masyarakatnya di samping memiliki keberanian serta memaklumkan kepada kerajaannya tentang fakta dan hakikat yang berlaku," tegas baginda.

Dalam perkembangan berkaitan, baginda turut memuji Syed Muhammad Naquib kerana komited menobatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu walaupun mendapat pendidikan tinggi dalam bahasa Inggeris.

Baginda bertitah, Syed Muhammad Naquib juga amat gigih berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di Universiti Malaya (UM) walaupun mendapat tentangan hebat dari pensyarah lain di samping menjadi pendukung utama penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Penulisan-penulisan beliau dalam bahasa Melayu memberikan nilai ilmu kepada bahasa Melayu apabila beliau memperkenalkan gaya penulisan baru di peringkat intelek dan falsafah.

"Hanya Allah yang maha mengetahui akan gelora rasa yang beliau alami kerana pada hari ini sudah ada suara yang semakin berani mahu menggugat bahasa Melayu, bahasa ibunda pribumi yang telah diterima sebagai bahasa kebangsaan di negara ini," titah Raja Nazrin.

http://www.utusan.com.my/
Kemunduran politik punca kejatuhan negara Kemunduran politik punca kejatuhan negara Reviewed by Mohd Syahiran Muhammad on 1:38 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.