Sentral: Lubuk asmara


Suasana suram Taman Tasik Cempaka dorong kegiatan maksiat golongan remaja

BANDAR BARU BANGI: Taman Tasik Cempaka berhampiran Kompleks PKNS di Seksyen 8 di sini, yang popular sebagai lokasi riadah tumpuan penduduk kini bertukar menjadi lubuk memadu asmara di kalangan remaja.

Taman tasik buatan manusia yang mempunyai pelbagai kemudahan termasuk trek joging, padang permainan kanak-kanak dan gimnasium itu sering dikunjungi pasangan remaja selepas tengah malam membuatkan masyarakat di sekitar rimas.

Bukan sekadar berpegangan tangan sambil menghirup udara malam, golongan terbabit turut melakukan lebih daripada itu berikutan keadaan taman yang agak suram disebabkan beberapa lampu sekitar kawasan berkenaan tidak berfungsi.

Tinjauan Sentral mendapati beberapa kereta ‘tersadai’ di kawasan gelap sekali gus memudahkan pasangan remaja terbabit memadu asmara, tanpa berasa malu dan bimbang dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang kerap melakukan rondaan.

Lebih memeranjatkan ketika Sentral melewati sebuah wakaf, kelihatan sepasang kekasih dalam keadaan berbaring dalam posisi mencurigakan dan sebaik menyedari ada tetamu tidak diundang mereka terus mela-rikan diri dengan menunggang motosikal.


PEMANDU meletakkan kereta di tempat sunyi dorong kegiatan tak bermoral.

Sambil berlari si lelaki membetulkan kedudukan seluarnya, manakala si gadis mengekorinya dari belakang membetulkan pakaian dan tudungnya.

Seorang kakitangan swasta, Shamsul Hazhar Shahidan, 23, berkata ramai pasangan remaja termasuk pelajar yang berkunjung ke taman itu untuk melakukan maksiat adalah dari luar kawasan perumahan ini.

“Persekitaran taman itu yang memang gelap menjadi pilihan mereka kerana memudahkan mereka memadu kasih dan melakukan maksiat,” katanya.

Hasbullah Hassan, 24, berkata Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) perlu memasang lampu di taman itu bagi menyekat masalah sosial terus berleluasa.

“Jika kawasan itu terang, saya yakin taman itu akan menjadi tumpuan awam bagi menjalankan aktiviti riadah bersama keluarga pada waktu malam di samping meningkatkan ekonomi peniaga di kawasan sekitar, ” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Penguatkuasaan Jais daerah Hulu Langat, Norhisham Mohd Idris, berkata tasik itu memang menjadi lokasi pilihan remaja melakukan kegiatan tidak bermoral.

Beliau berkata, setakat ini lebih 150 pasangan ditahan kerana didapati berdua-dua di taman berkenaan dan mereka diberi amaran serta teguran selepas melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

“Dalam operasi yang dibuat pada malam tahun baru lalu, daripada 57 tangkapan dilakukan di daerah Hulu Langat, 10 kes membabitkan pasangan dari Taman Tasik Cempaka.

“Kita akan mempergiatkan rondaan bagi membanteras masalah ini daripada terus berlaku bagi menjamin masyarakat yang berkualiti, sekali gus penduduk di kawasan sekitar dapat menikmati kemudahan yang ada tanpa perlu merasa kurang selesa untuk ke sana,” katanya.

Oleh Sarah Sulaiman
bhnews@bharian.com.my

Sentral: Lubuk asmara Sentral: Lubuk asmara Reviewed by SyahiranMuhd on 7:16 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.