Siber kafe tempat berjudi

KUALA LUMPUR: Kewujudan kafe siber yang menjalankan kegiatan judi haram sekitar daerah Gombak, di sini, diperangi habis-habisan pihak berkuasa dan sepanjang 2009 sebanyak 2,157 unit komputer dirampas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Gombak.

“Kami menerima banyak maklumat awam dan hasil risikan. Sebahagian premis terbabit ditarik balik lesen perniagaannya. Semua yang diserbu itu turut menerima kunjungan pelajar yang ponteng sekolah serta kaki judi tegar lain,” katanya.

Beliau ditemui dalam program Taklimat Keselamatan Ketua Polis Daerah Gombak di Dewan Pejabat Daerah Gombak yang disertai wakil masyarakat setiap daerah berkenaan.

Dalam taklimat itu juga, Abdul Rahim memaklumkan, jenayah kekerasan serta harta benda di Daerah Gombak berkurangan sehingga 11 peratus berbanding 2008.

“Sepanjang 2009, sejumlah 6,807 jenayah dilaporkan dan ia mencatatkan penurunan 876 kes berbanding tahun sebelumnya.

“Daripada jumlah keseluruhan itu, 3,296 atau 48 peratus kes berjaya diselesaikan membabitkan penahanan 1,677 individu,” katanya.

Dalam tempoh sama juga, 33 individu daripada jumlah tahanan terbabit dikenakan perintah tahanan mengikut Ordinan Darurat atas pelbagai kesalahan.

Bagi 2010, IPPD Gombak akan mengambil pendekatan lebih strategik untuk membasmi jenayah dengan membabitkan lebih banyak kerjasama daripada orang awam atau kumpulan masyarakat.

“Pembabitan orang awam dalam membantu polis mencegah jenayah adalah praktikal serta efektif kerana mereka mampu menjadi mata juga telinga kami di sesuatu kawasan.

“Kerana itu kami akan lebih dekatkan diri dengan kelompok masyarakat daerah ini dengan mengadakan pelbagai program keselamatan dan berkaitannya. Kerjasama kedua-dua pihak pasti mampu menangani masalah jenayah,” katanya.

Dalam taklimat itu beberapa isu seperti lumba haram dan pengedaran dadah serta pendatang asing dibangkitkan. Selain itu, ada wakil penduduk meletakkan harapan supaya bit polis diwujudkan di sekolah bagi mengelak masalah pelajar ponteng.

http://www.hmetro.com.my/
Siber kafe tempat berjudi Siber kafe tempat berjudi Reviewed by SyahiranMuhd on 7:32 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.